Home » »

Written By Idris on Sunday 30 August 2015 | 23:42




Hubungan gelombang otak manusia  dan Alam Pertanian



Otak merupakan organ bagi pusat kawalan utama bagi badan (pusat kawalan bagi sistem saraf tunjang). Ia menerima maklumat melalui deria dari dalam dan luar tubuh. Ia menganalisa maklumat ini dan kemudiannya menghantar perutusan kepada badan yang mengawal fungsi dan tindakannya. Otak boleh mengingati peristiwa lepas, dan merupakan sumber  fikiran, rasa , dan emosi.
Otak terletak di kepala, dilindungi oleh tengkorak dan hampir dengan perkakasan deria bagi penglihatan, pendengaran, keseimbangan, rasa dan bau. Otak mampu menjadi amat rumit. Sebagai contoh, otak manusia mengandungi sekitar 23 bilion neuron, setiap satunya bersambung dengan hampir 10,000 neuron yang lain.


Tahukah anda bahawa otak kita ini ada mengeluarkan gelombang yang tidak sama ? Gelombang-gelombang yang dikeluarkan ini diberi nama Beta, Alpha, Theta dan Delta. 

Gelombang Beta mempunyai amplitud yang paling rendah dan frekuensi yang paling tinggi iaitu 14-30 Hz. Apabila otak kita sedang aktif, ia akan mengeluarkan gelombang Beta. Seseorang yang sedang melakukan aktiviti  seperti mengajar pertanian,  betani dan melakukan aktiviti pertanian  akan mengeluarkan gelombang Beta.


Gelombang seterusnya ialah Alpha. Gelombang Alpha mempunyai amplitud melebihi gelombang Beta tetapi frekuensi yang lebih rendah iaitu 9-13 Hz. Mereka yang sedang berehat selepas melakukan aktiviti pertanian biasanya mengeluarkan gelombang Alpha. Gelombang ini juga terhasil melalui proses yang menyebabkan minda kita menjadi tenang seperti meditasi,berzikir, solat dan berjalan di taman atau dikebun-kebun atau di ladang.


Berikutnya ialah gelombang Theta. Gelombang Theta mempunyai amplitud yang lebih tinggi dan frekuensi yang lebih perlahan berbanding Beta dan Alpha. Frekuensi gelombang Theta ialah 5-8 Hz. Theta biasanya dikaitkan dengan seseorang yang sedang berimaginasi, seperti seseorang itu berada di antara sedar dan separuh sedar. Contohnya apabila kita sedang memandu traktor  dan berimaginasi lalu apabila sedar sudah berada beberapa meter di depan. (Awas! Jangan berimaginasi semasa memandu traktor untuk mengelakkan kemalangan!) Seseorang itu berada dalam gelombang Theta apabila mindanya menjadi sangat tenang dan aktiviti yang sedang dibuatnya menjadi automatik. Proses ini boleh berlaku ketika berjoging, mandi, memandu, membersih ladang, berjalan dan lain-lain.


Yang terakhir ialah gelombang Delta. Gelombang ini paling besar amplitudnya dan paling rendah frekuensinya iaitu 1.5-4 Hz. Gelombang ini terhasil apabila kita sedang tidur. Sewaktu kita tidur, kita akan bermimpi pada kitaran 90 minit. Pada ketika ini, gelombang Delta akan bertukar menjadi Theta dan mimpi yang aktif akan berlaku. Sewaktu bermimpi yang aktif inilah berlakunya Rapid Eye Movement (REM).


Apabila kita terjaga dari tidur, gelombang otak kita akan bertukar dari Delta -> Theta -> Alpha -> Beta. Sebab itulah apabila kita mula-mula terjaga dari tidur kita akan merasa khayal / mamai sebab gelombang otak kita baru bertukar dari Delta kepada Theta.


Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk memasuki gelombang Alpha kerana pada waktu itulah minda kita menjadi tenang. Ketika kita berada dalam gelombang Alpha, suasana terasa tenang dan stress akan hilang dan ketika inilah kita boleh menggunakan potensi keupayaan otak kita yang sebenar. Kita mampu untuk menumpukan fikiran terhadap sesuatu perkara. Gelombang Alpha membuka fikiran kita lalu menghasilkan kemampuan kreatif untuk menyelesaikan sesuatu masalah. 


Untuk seorang Muslim, sudah tersedia cara untuk menyelesaikan segala masalah yang kita hadapi iaitu dengan berdoa , solat hajat, membaca Quran menghadiri majlis ilmu dan berzikir. Amalan-amalan ini akan menjadikan kita tenang dan seterusnya membolehkan kita menggunakan fungsi otak dengan berkesan untuk menyelesaikan segala masalah dan meningkatkan kualiti kehidupan kita di dunia ini. 

Rujukan:

1.https://ms.wikipedia.org/wiki/Otak#/media/File:Brain_090407.jpg

2. http://lautan-biru.blogspot.com/search/label/gelombang


0 comments:

Post a Comment